Sabtu, 19 November 2011

Mikropengajaran KPD3026

Muhyiddin umum pemansuhan projek rintis pengajaran 9 jam

LABUAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan projek rintis pengajaran sembilan jam yang sepatutnya bermula di empat negeri, tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketetapan itu dibuat bagi mengelak kekeliruan di kalangan guru, selain tidak mahu menambah beban sedia ada.
Katanya, ketetapan itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Selasa, 8 November 2011

Martabatkan bahasa Malaysia, hentikan guna bahasa rojak

BEBERAPA pihak baru-baru ini telah membangkitkan mengenai betapa pentingnya kita memartabatkan semula bahasa Melayu.
Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan yang diadakan beberapa hari lepas mahu bahasa Melayu dimartabatkan dan digunakan sepenuhnya termasuk dalam bidang ekonomi, kewangan serta perundangan.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) bercadang melaksanakan proses alih suara bagi rakaman suara individu yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi temu bual berbahasa Melayu sebagai usaha mengukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang penyiaran.
Melalui Bulan Bahasa Kebangsaan yang dianjurkan setiap tahun, semua warga Malaysia diingatkan untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan selain daripada usaha membolehkan kita menguasai bahasa Melayu dengan tepat.
Mutu penggunaan tatabahasa Melayu dalam pelbagai program yang disiarkan oleh stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta masih berada di tahap rendah.
Usaha perlu dilaksanakan dan membabitkan semua stesen penyiaran bagi meneliti kesilapan penggunaan bahasa Melayu dalam siaran berita dan rancangan supaya boleh diperkasa dan ditambah baik dari masa ke masa.
Satu perkara yang memerlukan tindakan ialah mengenai pencemaran bahasa Melayu yang berleluasa seperti dalam dialog filem dan dalam perbualan seharian, semaada dalam program televisyen atau cakapan harian yang mencerminkan fenomena bahasa rojak.
Saya dan ramai yang lain khuatir dengan aliran pertuturan bahasa rojak iaitu campuran bahasa Melayu dan Inggeris yang cerminkan ketidakyakinan terhadap bahasa Melayu dan penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul.
Bukan saya menentang penggunaan Bahasa Inggeris tetapi apa yang saya bangkitkan ialah mengapa kita tidak bertutur bahasa Melayu sepenuhnya jika ingin menggunakan bahasa itu.
Begitu juga jika ingin menggunakan bahasa Inggeris, gunakan sepenuhnya tanpa perlu dicampurkan dengan bahasa Melayu.
Sungguhpun saya bukan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu saya berpendapat masanya telah tiba bagi semua pihak untuk memperbetulkan fenomena bahasa rojak ini dan jangan jadikannya suatu budaya atau cara hidup di negara kita.
Mesej yang saya ingin sampaikan ialah kita tidak dapat memartabatkan bahasa Melayu kalau kita cenderung mencampuradukkan percakapan dalam bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Kita juga tidak dapat memperkukuhkan bahasa Inggeris dengan mencampuradukkan percakapan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu.
TAN SRI LEE LAM THYE
Kuala Lumpur